Friday, May 15, 2009

63 tahun.. sedarlah

Alhamdulillah, marilah kita dengan sepenuh hati dan keinsafan melafazkan kesyukuran kita ke hadrat Allah swt kerana tahun ini UMNO sudah berusia 63 tahun. Bersyukurlah kerana Parti Keramat yang menerajui kemerdekaan dan kemajuan negara, terus menjadi tonggak perpaduan Melayu dan kita dapat berkhidmat memartabatkan agama, bangsa dan tanahair. Pergerakan Pemuda UMNO yang ditubuhkan pada 26 Ogos 1949 pula terus menjadi sandaran besar dan harapan tinggi kepada kesinambungan Parti Keramat orang Melayu khususnya Pemuda UMNO Bahagian Klang itu sendiri. Walaupun pernah teruji kemelut politik Melayu dalam PRU 12 yang lepas, Pemuda UMNO Bahagian Klang kini mantap dan utuh untuk terus memikul harapan dan amanah agama, bangsa dan tanahair. Maka saya yakin, dengan berasaskan kekukuhan Parti kini dan dengan berpegang teguh kepada asas-asas perjuangan, nilai-nilai murni ketimuran, Pemuda UMNO hari ini sewajarnya sudah bersedia untuk membawa anak bangsa menghadapi cabaran di masa akan datang. Keputusan Pilihanraya Umum ke 12 (PRU12) yang lalu telah menunjukkan bahawa, ada tanda-tanda bahawa orang Melayu khususnya generasi muda, telah mula hilang kepercayaan kepada parti kita UMNO. Selain Kelantan, kini Kedah, Pulau Pinang dan Selangor telah berjaya ditawan oleh Parti Pembangkang. Negeri Johor yang terkenal selama ini sebagai kubu kuat UMNO, juga telah berjaya dicerobohi oleh pihak pembangkang. Lanjutan dari kemerosotan Barisan Nasional dalam Pilihanraya Umum yang lalu, telah menyebabkan kegawatan dalam parti kita UMNO. Begitu juga dalam parti-parti komponen BN yang lain. Masing-masing cuba menuding jari menyalahkan pihak yang lain. Tindakan menyalahkan pihak lain tidak akan menyelesaikan masalah yang sedang kita hadapi, melainkan kita sendiri harus mengkaji semula kelemahan dan kesilapan diri kita, seterusnya mengambil jalan secepat mungkin, untuk memperbaiki kelemahan dan kesilapan tersebut. Masa terus berjalan. Jika kita lambat bertindak dan terus menyalahkan pihak lain, kemungkinan untuk bangkit semula dalam Pilihanraya Umum yang akan datang menjadi semakin tipis boleh reput dan hancur dari dalam. Maka, dengan slogan Pemuda Berani Berubah dalam Semangat Setia Kawan, kita jalin dan gemblengkan menjadi ikatan kukuh yang membentengi segala ancaman. Sesungguhnya perjuangan, khidmat, kekukuhan dan perpaduan kita dalam Parti Keramat ini memberi erti, faedah, nikmat, nilai dan makna kepada kehidupan rakyat segenap lapisan. Bangkit la wahai Pemimpin-pemimpinKu dari di buai mimpi yang indah-indah belaka, sedangkan anak bangsa kita masih terkapai-kapai mencari hala tuju perjuangan.

No comments:

Post a Comment